PETALING JAYA: Kemenangan 2-1 PDRM FC ke atas Selangor FC dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia belum cukup bagi menyekat skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk mara ke peringkat suku akhir.
Dalam aksi di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebentar tadi, Selangor mengesahkan kemaraan ke suku akhir dengan agregat 5-3, sekali gus menempah pertembungan suku akhir dengan jaguh Pantai Timur, Terengganu.
Selangor yang membawa bekalan selesa selepas merekodkan kemenangan 4-1 dalam aksi pertama menggandakan kelebihan itu apabila Yohandry Orozco menyudahkan umpanan menarik Noor Al Rawabdeh pada minit ke-25.
Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan Selangor membolehkan PDRM merapatkan kedudukan selepas Nabil Ahmad Latpi mudah menolak masuk bola hantaran Uche Agba, tujuh minit kemudian.
Gergasi Merah yang juga juara terbanyak Piala Malaysia iaitu 33 kali memperoleh beberapa peluang terhidang terutama pada lewat permainan, namun gagal menambah sebarang jaringan.
Ketika Selangor sibuk melakukan asakan, PDRM mendapat gol kemenangan dalam aksi itu selepas Harith Haiqal Adam Afkar tertampan bola hantaran Bruno Suzuki ke gawang sendiri pada masa kecederaan.- UTUSAN ONLINE