Selangor 'tempang' jumpa skuad Jang

Selangor ‘tempang’ jumpa skuad Jang

SAFUWAN Baharudin (tengah) antara pemain Selangor yang mengalami kecederaan dan terpaksa direhatkan.-IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selangor FC perlu bekerja lebih keras dalam usaha meraih tiga mata dalam aksi menentang Negeri Sembilan malam ini selepas pasukan terbabit kehilangan lima tonggak utama akibat kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Situasi terbabit disahkan pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe apabila ketiadaan lima pemain utama itu dilihat akan merencatkan perancangan skuad Gergasi Merah dalam usaha mengutip tiga mata penting untuk mengekalkan penguasaan di tangga kedua liga.

Cheng Hoe berkata, Safuwan Baharudin dan R. Ruventhiran digantung perlawanan manakala dua import iaitu Noor Al-Rawabdeh dan Alex Agyarkwa perlu direhatkan kerana belum pulih sepenuhnya akibat kecederaan dialami mereka pada perlawanan terdahulu.

“Brendan Gan pula baharu menyertai pasukan semalam dan dia juga mengalami kecederaan buku lali namun mungkin tidak menjadi masalah serius untuk turun beraksi.

“Zikri Khalili juga mengalami kecederaan buku lali tetapi kami perlu mengesahkannya terlebih dahulu dengan pasukan perubatan kerana dia mungkin perlu menjalani pemulihan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sebarang perlawanan kompetitif,” katanya.

Walaupun, lima pemain utama tidak dapat beraksi menentang Negeri Sembilan, namun bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu tidak panik apabila percaya barisan anak buahnya yang lain mampu menggalas cabaran untuk mencipta keputusan positif.

“Saya fikir dalam dua perlawanan terakhir kami menentang mereka (Negeri Sembilan) menyaksikan sering dibolosi pada awal perlawanan sekali gus perkara itu perlu dielakkan bagi memastikan perlawanan memihak kepada Selangor.

“Apabila kami membenarkan mereka menjaringkan gol awal sudah pasti akan beraksi dalam keadaan tekanan sekali gus akan melakukan banyak kesilapan.

“Pada masa sama, saya lihat pengendali Negeri Sembilan K. Devan adalah jurulatih berpengalaman seterusnya mempunyai perancangan dalam memerangkap Selangor pada perlawanan esok,” katanya.

Di atas kertas, skuad Gergasi Merah dilihat agak sukar untuk mencabar kejuaraan memandangkan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) hampir pasti mengekalkan trofi berprestij itu buat kali ke-10 berturut-turut.

Namun, Selangor masih berpotensi untuk mengekalkan kedudukan kedua apabila mengutip 43 mata selepas mengharungi 20 perlawanan dengan pencabar terdekat, Kedah Darul Aman (KDA FC) di tempat ketiga.

Menamatkan saingan di tempat naib juara cukup penting buat skuad Merah Kuning kerana ia boleh memberikan tiket automatik untuk bersaing dalam kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.-UTUSAN

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya