PETALING JAYA: Dalam usaha mempertahankan kejuaraan, pasukan Selangor telah menyertai lebih 100 pertandingan sejak Mac lalu bagi memilih barisan pemain terbaik ke Kejohanan Bola Keranjang Bawah 15 tahun (B-15) Kebangsaan yang akan berlangsung pada 25 Ogos hingga 2 September di Batu Pahat, Johor.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Keranjang Selangor, Sunny Sun berkata, berdepan kejohanan tahun ini, Johor kekal menjadi pesaing terkuat mereka, selain Negeri Sembilan turut dilihat bakal memberi cabaran merebut kejuaraan.
Tegasnya, pemilihan telah pun dibuat Jun lalu dan Selangor bakal turun dengan empat skuad iaitu dua pasukan di kategori lelaki dan dua lagi di kategori perempuan bagi memberi pendedahan kepada para pemain dengan kejohanan kompetitif.
“Ada lebih 100 pertandingan dianjurkan sejak Mac kerana Selangor negeri yang luas dan ramai pemain berpotensi ke kejohanan kebangsaan.
“Kami sediakan dua pasukan (Selangor 1 dan Selangor 2) untuk setiap kategori kerana persatuan mahu hasilkan ramai pemain berkualiti. Selangor 2 terdiri daripada pemain berusia 13 dan 14 tahun, sementara Selangor 1 pula campuran pemain baru dan lama.
“Dari segi kos, setiap pasukan bernilai lebih kurang RM25,000, jadi sudah RM100,000 kami belanjakan untuk persiapan ke kejohanan ini. Dari segi latihan, saya boleh katakan yang kami sudah sangat bersedia dan akan lawan habis-habisan.
“Dari segi pencabar pula, tahun lalu kami menang ke atas Johor. Negeri lain agak mudah dikuasai tetapi Johor tidak. Negeri Sembilan pun saya dengar persiapan mereka hebat tahun ini, jadi mungkin kami patut berhati-hati dengan mereka juga.
“Untuk sasaran, jika Selangor dapat pergi ke pusingan akhir pun sudah memadai. Paling penting, kami lakukan yang terbaik dan beri saingan hebat dalam Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Persatuan Bola Keranjang Malaysia telah menjalankan undian dan pelancaran Kejohanan Bola Keranjang Bawah 15 Tahun di ibu negara yang disertai semua negeri kecuali Sabah. – UTUSAN ONLINE