PETALING JAYA: Selangor FC memulakan misi memburu kejuaraan Piala Malaysia ke-34 dengan bergaya apabila membenam PDRM FC 4-1 dalam aksi pertama pusingan 16 akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Red Giants yang kalah 0-1 dalam pertemuan terakhir menentang The Cops pada 3 Jun lalu bagaimanapun dikejutkan dengan gol pembukaan PDRM pada minit ke-25 menerusi Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Anak-anak buah Tan Cheng Hoe juga buntu untuk mencari gol penyamaan pada 45 minit pertama permainan biarpun melancarkan beberapa percubaan.
Selangor berubah ‘wajah’ sebaik sahaja babak kedua bersambung dengan menampilkan aksi lebih agresif.
Akhirnya, usaha mereka membuahkan hasil apabila Ayron del Valle meledak gol penyamaan pada minit ke-56 selepas menyudahkan hantaran lintang Brendan Gan.
Penjaring terbanyak Red Giants itu meneruskan prestasi cemerlangnya dengan menambah gol kedua Selangor pada minit ke-64 menerusi gerakan akrobatik.
Selangor yang dikecewakan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala Malaysia tahun lalu mengukuhkan kedudukan dengan gol ketiga menerusi tandukan tonggak pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar di minit ke-74.
Ketika permainan menunggu masa untuk ditamatkan, pemain gantian, Yohandry Orozco mencetak gol keempat buat pasukannya.
Selangor yang beraksi sebagai pasukan pelawat kini memegang kelebihan selesa apabila bertemu PDRM FC sekali lagi dalam aksi kedua di stadium yang sama, 19 Ogos ini. – UTUSAN ONLINE