KOTA BHARU: Selangor membelasah Johor 39-7 untuk mempertahankan kejuaraan Ragbi Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bawah 18 tahun (B-18) di padang Sekolah Menengah Sains (SMS) Tengku Muhammad Faris Petra kelmarin.
Jurulatih Selangor, Zool Himli Sokri gembira apabila perancangan selama lima tahun melalui program Akademi Ragbi Selangor untuk mengatasi Johor akhirnya membuahkan hasil.
“Kemenangan dengan yang besar hasil enam try, tiga penalti dan sedikit mata dari convertion pada perlawanan akhir amat bermakna. Barisan pemain berjaya menterjemahkan segala perancangan kami selama ini.
“Kami sedar lebih susah mempertahankan kejuaraan berbanding memenanginya. Kita sudah ada blueprint cuma perlu ditambah baik dari semasa ke semasa untuk membina pasukan yang kuat untuk bersaing di peringkat MSSM,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih MSS Johor, Abdul Hanis Mokhta akur dengan kekalahan pasukannya dan mengakui kehebatan MSS Selangor, terutama di bahagian serangan dan ‘backline’ (pertahanan).
“Bagaimanapun kami bersyukur kerana masih berpeluang sampai ke perlawanan akhir pada tahun ini. Kami terima kekalahan ini dan akur bahawa MSS Selangor adalah pasukan yang lebih baik bagi edisi ini dan layak bergelar juara,” ujarnya.
Selangor muncul juara keseluruhan Ragbi MSSM selepas turut muncul naib juara bawah 12 tahun apabila tewas tipis 15-17 kepada Perak.