PETALING JAYA: Situasi tampak tidak memberangsangkan buat juara dunia beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk mempertahankan gelaran tersebut menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Copenhagen, Denmark pada 21 hingga 27 Ogos ini.
Masalah prestasi kembali menghantui beregu utama negara ini apabila disingkirkan pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 15-21, 17-21 pada suku akhir Terbuka Australia semalam biarpun turun sebagai pilihan kedua kejohanan.
Situasi itu mengulangi skrip Terbuka Jepun minggu lalu apabila mereka tunduk kepada pasangan tuan rumah, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi di peringkat yang sama.
Biarpun Aaron dan Wooi Yik bakal menjadi pilihan keempat dalam Kejohanan Dunia nanti, kedudukan itu tidak memberikan kelebihan istimewa selain hanya mengelak bertemu pasangan lebih kuat seawal pusingan pertama.
“Mereka tidak bermain seperti kebiasaan, itu bukan permainan sebenar mereka.
“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk mempersiapkan mereka,” kata Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky kepada Utusan Malaysia.
Aaron-Wooi Yik juga masih buntu untuk menamatkan kemarau gelaran dalam Jelajah Dunia apabila masih tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan sejak bergelar juara dunia, Ogos tahun lalu.
Pemenang pingat gangs Sukan Olimpik itu hampir menamatkan kemarau lima tahun kejuaraan tahun ini apabila mara ke final Terbuka India pada Januari, namun tewas mengejut kepada pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Nasib tetap tidak memihak mereka ketika apabila tewas mengejut kepada Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di final Terbuka Indonesia biarpun memiliki rekod perlawanan yang cemerlang ke atas pasa ngan India itu.
Undian Kejohanan Badminton Dunia 2023 akan berlangsung 10 Ogos depan di ibu pejabat BWF, Kuala Lumpur pada pukul 3 petang.