HANGZHOU: Permainan PUBG Mobile yang menjadi antara lapan acara e-sukan bakal dipertandingkan pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China telah memperkenalkan versi baharu.
Versi baharu yang dinamakan Off-Road Racing itu dan dicipta khas sempena Sukan Asia menjanjikan cabaran dan persaingan lebih sengit.
Ia menguji kebolehan pemain dalam beberapa aspek antaranya kebolehan memandu kenderaan, tembakan tepat, menekan nilai kerjasama berpasukan dan pelbagai lagi apabila memilih peta Miramar.
PUBG Mobile akan terus mengubah pengalaman permainan, memberikan keterujaan, daya saing dan gambaran tentang masa depan acara e-Sukan sekali gus menyerikan temasya Sukan Asia kali ini.
Dengan keluaran terbaharu ini, PUBG Mobile menjanjikan persaingan yang lebih menarik buat semua penggemar permainan itu.
Pemain perlu membuat keputusan yang cepat kerana ia akan mempengaruhi jumlah mata diperolehi.
Versi ini akan menyaksikan empat pasukan berentap dan mereka yang paling cepat melepasi empat halangan menuju ke penamat akan dinobatkan sebagai pemenang.
Versi itu telah tersedia dalam PUBG Mobile dan peserta sudah boleh mencubanya daripada sekarang. – AGENSI