CHENGDU, China: Hasrat pelari 400 meter (m) negara, Umar Osman untuk meraih pingat dalam aksi final di Kejohanan Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 hari ini tidak kesampaian.
Aksi yang berlangsung di Stadium Pusat Sukan Shuangliu, Chengdu hari ini menyaksikan Umar ditukar ke lorong paling dalam pada saat akhir dalam kalangan lapan peserta yang beraksi di perlumbaan final.
Ia memberi kesukaran buat Umar yang telah pun memecahkan dua rekod kebangsaan acara 400m dalam tempoh 48 jam sebelum ini apabila sekadar menghabiskan saingan di tempat ketujuh dengan catatan 46.41 saat (s).
“Saya tak jangka terpaksa berlari di lorong paling dalam, saya lebih suka di lorong lapan tetapi apa kan daya, saya terpaksa teruskan juga.
“Saya minta maaf tak dapat menyumbang pingat, apa pun ini adalah pengalaman paling berharga untuk saya,” jelas Umar.
Pingat emas milik pelari Portugal Agostino Coelho yang melakar rekod baru kejohanan dengan catatan 44.79s, manakala Holder Reece Nathaniel dari Australia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, sementara pingat gangsa milik Dringo Mihai Sorin dari Romania.