IPOH: Perak FC terpaksa membayar harga mahal ketika meraih kemenangan 3-1 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi pembukaan Piala Malaysia di Ipoh kelmarin.
Ini kerana pasukan itu kehilangan khidmat penyerang import, Seo Seonung yang patah hidung selepas dikasari Rodney Celvin Akwensivie pada minit ke-60.
Akibatnya, dia tidak dapat diturunkan dalam perlawanan Liga Super berikutnya.
Pengendali Perak, Yusri Che Lah menyelar tindakan pemain Kedah sambil menyifatkan ia sebagai tiada semangat kesukanan.
“Semangat kesukanan perlu ada dalam diri pemain, jika tidak inilah jadinya.
“Malang sungguh nasib Seonung. Ini kali kedua dia terpaksa berehat panjang,” katanya.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/08/SEO-600x400.jpg)
Jurulatih Perak itu bagaimanapun tenang menyedari beliau mempunyai pemain seperti Firdaus Saiyadi dan Luka Milunovic yang bersedia berjuang untuk pasukan.
Menurutnya, bukan dua pemain itu sahaja, malah seluruh anggota pasukan bersedia memberi persembahan terbaik.
“Saya bertuah kerana memiliki khidmat mereka serta Luciano Guaycochea yang menjadi inspirasi kepada rakan,” katanya.
Yusri memuji persembahan anak-anak buahnya yang mempamer semangat juang kental sepanjang perlawanan semalam.
“Tiada siapa beri harapan kepada kami selepas dua kali tumpas kepada Kedah.
“Jadi pemain saya membuktikan kritikan salah kali ini, saya sungguh berbangga dengan mereka,” katanya.