PETALING JAYA: Pentas final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 malam ini akan menjadi medan untuk skuad Malaysian Tigers menebus kekalahan kepada India.
Dalam saingan peringkat liga sepusinga pada 6 Ogos lalu, skuad kendalian Arul Selvaraj, dibelasah 5-0 dan pertembungan malam ini pastinya mahu dijadikan medan kebangkitan
“Kita tidak ingin memikirkan dengan terlalu banyak dengan siapa kita bermain. Pada petang ini (semalam), kita mahu pemain menikmati, merasai detik ini (kemenangan ke atas Korea Selatan).
“Pagi esok (hari ini), kita akan buat bedah siasat dan persiapkan pasukan untuk final,” kata Arul selepas membelasah Korea Selatan 6-2 di peringkat separuh akhir semalam.
Semalam, Malaysian Tigers mencipta sejarah apabila melangkah ke final buat kali pertama di ACT selepas membelasah Korea Selatan 6-2 biarpun pada awalnya ketinggalan kepada juara bertahan itu.
“Kita turun ke padang menentang Korea Selatan dengan tidak langsung memikirkan mengenai sejarah di ACT ini. Sebaliknya, kita turun dengan fokus memenangi perlawanan dengan Korea Selatan untuk dua kali berturut-turut.
“Kemenangan kali kedua ini amat penting untuk layak ke final dan seterusnya membawa keyakinan diri menjelang Sukan Asia nanti.
“Satu persembahan yang memberangsangkan dari segi kawalan permainan. Walaupun ketinggalan 0-1, tetapi pemain ‘dabik dada’ dan mempunyai keyakinan tinggi. Cara pergerakan, kedudukan padang mereka dan paling memuaskan hati adalah jaringan gol padang.
“Setakat ini, kita mendahului jaringan gol padang tertinggi dalam kejohanan ini dan kita juga melakukan dua atau tiga (gol) dari pukulan sudut. Ini bererti, pasukan dapat menjaringkan gol padang dan juga menerusi pukulan sudut.
“Ini satu mesej positif untuk pasukan, untuk membawa jaringan gol ini ke Sukan Asia di China nanti,” kata Arul.-UTUSAN ONLINE