PETALING JAYA: Sebanyak 14 pasukan yang beraksi dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong 2023 mendapat suntikan dana apabila menerima geran RM5,000.
Pengarah Pertandingan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Fahmy Jalil berkata pemberian geran itu adalah tambahan kepada hadiah wang tunai RM60,000 keseluruhan yang ditawarkan dalam kejohanan tersebut bermula 23 September hingga 21 Oktober ini.
KRM juga menyediakan geran tambahan RM2,000 kepada pasukan yang menjadi tuan rumah, dengan setiap pasukan berpeluang menjadi tuan rumah bagi satu aksi.
“KRM kali ini memperuntukkan hampir RM60,000 bagi jumlah keseluruhan wang kemenangan pada tahun ini, sekali gus memeriahkan lagi penganjuran saingan untuk mana-mana pasukan bergelar juara.
“Bagi pusingan awal perlawanan peringkat kumpulan, ia akan dimainkan secara liga satu pusingan (round-robin) mengikut kumpulan masing-masing dengan juara kumpulan A, B, C, D dan E akan layak ke suku akhir.
“Tiga pasukan kedua terbaik daripada kumpulan A, B, C dan D juga akan turut layak ke suku akhir yang akan berlangsung di padang ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 dan 15 Oktober depan.
“Pasukan yang berjaya melayakkan diri ke separuh akhir akan bermain pada 18 Oktober dan seterusnya penentuan tempat ketiga dan keempat serta final akan berlangsung pada 21 Oktober di Stadium Ragbi Perak,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi undian hari ini.
Juara bertahan, Putrajaya diundi dalam Kumpulan A bersama Johor dan Kelantan, manakala, Kumpulan B (ATM, PDRM, Pahang), Kumpulan C (Melaka, Kuala Lumpur, Perlis), Kumpulan D (Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor) dan Kumpulan E (Sarawak, Sabah).
Dalam pada itu, Fahmy turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada ahli gabungan KRM dan rakan penaja utama Harps Holding dan Al-Ikhsan Sports, rakan strategik, Advanced Defence Systems, SugarBomb, Berjaya Group serta Kuckreja & Co selaku penaja bola rasmi kejohanan.
Aksi suku akhir akan berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14-15 Oktober; manakala perlawanan separuh akhir pada 18 Oktober, penentuan tempat ketiga/keempat dan final pada 21 Oktober akan berlangsung di Stadium Ragbi Perak, Ipoh.
“Bagi tahun ini, KRM masih mengekalkan jumlah kuota pemain import, iaitu empat pemain boleh didaftarkan dalam senarai panjang 40 pemain dengan hanya tiga pemain dibenarkan beraksi dalam padang pada setiap perlawanan yang dijalankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE