KUALA LUMPUR: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan akan melepaskan jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada hujung tahun ini.
Norza bakal mengosongkan kerusi nombor satu badan induk badminton kebangsaan itu lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkan pada 15 Julai lalu.
Tegas Norza, keputusan tersebut tidak didorong oleh mana-mana pihak, malah tiada kaitan dengan isu yang melibatkan bekas jurulatih perseorangan remaja kebangsaan, Datuk Misbun Sidek.
Kata Norza, keputusan tersebut diambil selepas beliau memikirkan BAM sudah mempunyai beberapa nama calon yang layak menggantikan tempatnya.
“Pada kesempatan ini, saya ingin maklumkan bahawa saya akan melepaskan jawatan Presiden BAM hujung tahun ini. Sebelum ini saya mengumumkan akan mengundurkan diri selepas Sukan Olimpik Paris 2024.
“Keputusan ini tidak didorong oleh apa-apa sebab dan tiada kaitan dengan apa yang berlaku ketika ini.
“Bagaimanapun, saya sudah ada beberapa nama yang berpotensi (ambil alih jawatan) dan nama-nama berkenaan sudah diserahkan kepada ahli majlis. Kenapa perlu tunggu jika sudah ada calon berpotensi,” katanya dalam sidang akhbar di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat mengundur diri daripada jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selepas tamat Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Norza mula mengambil alih tampuk nombor satu BAM pada 2017 bagi menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff. – UTUSAN ONLINE