MANCHESTER: Manchester United dijangka mengeluarkan kenyataan berkaitan masa depan Mason Greenwood bersama kelab berkenaan pada hari ini.
Selasa lalu, United dilaporkan bersedia untuk mengumumkan kepulangan Greenwood ke dalam skuad namun, mereka membatalkan pengumuman tersebut.
Keesokan harinya, pengurusan tertinggi United mendakwa belum ada keputusan dibuat berkaitan masa depan Greenwood di kelab berkenaan.
Ketua Eksekutif United, Richard Arnold sebelum ini pernah membuat rakaman video bagi menjelaskan rancangannya untuk memasukkan kembali Greenwood ke dalam skuad.
Bagaimanapun, selepas berita itu tersebar, United dikecam hebat peminat-peminat di media sosial dan kini, Arnold dan lembaga pengarah United percaya, tiada ruang buat penyerang 21 tahun itu untuk kembali.
Pemain kelahiran Bradford itu ditangkap pada Januari 2022 atas tuduhan merogol dan serangan seksual. Dia digantung serta-merta namun dakwaan ke atasnya digugurkan enam bulan lalu. – AGENSI