PETALING JAYA: Pasukan Mutiara Soccer All Star muncul juara Kejohanan ICFL Asean Cup Bawah 17 tahun selepas menewaskan Soccer Basic Footbal Club (SBFC) 1-0 di pentas final di padang Tigre Arena, Sungai Buloh hari ini.
Kejayaan berkenaan membolehkan Mutiara Soccer All Star membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM3,000 beserta piala pusingan dan sijil penyertaan manakala, SBFC membawa pulang RM1,000 selaku naib juara.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh DK United , sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500 selepas berjaya menundukkan pasukan dari Indonesia, Askab PSSI Banyuwangi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Dalam perlawanan akhir yang berlangsung sengit itu, gol kemenangan pasukan Mutiara Soccer All Star yang berpangkalan di Pulau Pinang dijaringkan oleh Muhammad Hairil Khairizam pada minit ke-25 untuk mereka bergelar juara.
Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berkata, sebanyak 11 pasukan dari dalam negara dan satu pasukan dari Indonesia telah berentap dalam kejohanan yang bermula sejak semalam dan ia merupakan pentas terbaik untuk mencungki bakat-bakat baharu pemain remaja.
Kejohanan itu juga katanya, bakal menjadi acara tahunan yang dianjurkan oleh ICFL dan selepas ini, lebih banyak pasukan dari luar negara seperti dari Thailand dan Myanmar akan dijemput untuk menjadikan kejohanan ini lebih berprestij.
“Kita akan menganjurkan kejohanan yang sama pada masa akan datang dan lebih banyak pasukan dari luar negara akan dijemput untuk menjadikan kejohanan ini lebih meriah dan mencabar. Terima kasih kepada semua pasukann yang mengambil bahagian tahun ini.
“Pihak ICFL juga ingin berterima kasih kepada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Pelancongan Selangor yang sudi menghulurkan tajaan bagi memastikan kejohanan ini berlangsung dengan jayanya,” kata Kamil dalam satu kenyataan.-UTUSAN ONLINE