PETALING JAYA: Pernah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2010 tetapi membuat kepulangan semula pada 2017.
Begitupun kali ini, jurulatih legenda, Datuk Misbun Sidek dikatakan memilih untuk tidak akan kembali lagi ke pangkuan badan induk badminton negara itu.
Menurut sumber yang enggan didedahkan, Misbun menolak menyertai semula BAM atas beberapa faktor tidak boleh diperjelaskan.
Kelmarin, pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal Ahmad hadir ke Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara bagi untuk menyerahkan surat jawapan kepada CEO ABM, Michelle Chai mengenai tawaran yang dikemukakan badan itu.
Isi kandungan surat berkenaan tidak didedahkan kerana ia ditujukan kepada Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang kini berada di luar negara.
Norza sebelum ini memohon maaf kepada Misbun ekoran tindakan BAM menamatkan kontraknya lebih awal susulan kegagalan skuad negara dalam Kejohanan Remaja Asia.
Beliau kemudian menawarkan tempat buatnya sehingga Disember dan melatih skuad negara menghadapi Kejohanan Remaja Dunia di Washington bulan depan.
“Apa yang boleh saya dedahkan, Misbun menolak tawaran memegang semula jawatan jurulatih perseorangan remaja negara,” kata sumber berkenaan.
Penolakan Misbun bermakna badan induk itu perlu segera mencari pengganti untuk mengemudi skuad remaja negara kerana mereka hanya punyai tempoh kurang daripada dua bulan sahaja lagi untuk bersiap menghadapi kejohanan itu.
Ketiadaan Misbun kini menyaksikan anaknya, Misbun Ramdan dan Mohd. Hazwan Jamaluddin menggalas tanggungjawab melatih skuad perseorangan remaja negara.