PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan, jurulatih berpengalaman, Datuk Misbun Sidek muktamad tidak akan kembali ke pangkuan skuad kebangsaan.
Keputusan tersebut diumumkan BAM hari ini, sambil memuat naik gambar Presiden mereka, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berjabat tangan dengan Misbun.
Pada 28 Julai lalu, jawatankuasa khas BAM yang dipengerusikan Timbalan Presidennya, Datuk V. Subramaniam mengumumkan Misbun dan badan induk itu berpisah dengan persetujuan bersama berkuatkuasa serta merta biarpun jurulatih tersebut masih memiliki baki tiga bulan kontrak.
Penamatan kontrak lebih awal itu dilakukan gara-gara kegagalan skuad negara pada Kejohanan Remaja Asia di Indonesia.
BAM confirms that Datuk Haji Misbun Haji Sedek has parted ways with BAM via reaching an amicable settlement together with the institution. BAM considers the case closed and now turns its focus on the preparations for the upcoming World Junior Championship 2023. pic.twitter.com/wlpz14tDKG
— BAM (@BA_Malaysia) August 15, 2023
Begitupun pada 31 Julai, Misbun dalam sidang akhbar khas mendakwa, perpisahan dengan BAM bukanlah secara persetujuan bersama seperti diumumkan badan induk itu, selain berkata kecewa dengan cara dia disingkirkan.
Dalam usaha menjernihkan kemelut tersebut, Norza mengadakan sidang akhbar pada 2 Ogos lalu memohon maaf kepada jurulatih berusia 63 tahun itu dan menawarkannya kembali menggalas tugas pengarah pembangunan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat pada hujung tahun ini.
Bagaimanapun Misbun menutup episod kemelut yang dihadapinya dengan BAM dengan menolak tawaran tersebut.
Kejohanan Remaja Dunia yang sepatutnya menjadi tugasan terakhir Misbun bersama BAM akan berlangsung di Washington, Amerika Syarikat dari 25 September hingga 8 Oktober. – UTUSAN ONLINE