PETALING JAYA: Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah sudah memenangi hampir semua gelaran yang boleh diraih dalam bina badan, namun sering kecundang setiap kali memasuki persaingan merebut anugerah.
Begitupun semalam, Syarul atau lebih mesra disapa Mike akhirnya mendapat pengiktirafan yang dinantikan apabila dinobat sebagai Atlet Terbaik Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022 pada usia 50 tahun.
Perjalanan karier Syarul yang merupakan juara dunia lima kali ibarat seperti Bell Ngasri dalam dunia lakonan, dan sebab itulah anak jati Kuala Lumpur tersebut digelar Barkoba (watak popular yang mengangkat nama Bell) sukan.
Syarul menewaskan empat calon hebat lain, termasuk Olahragawan Kebangsaan dan juara badminton dunia 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selain jaguh snuker, Lim Kok Leong, pemenang dua pingat emas Sukan Komanwel, Muhammad Aniq Kasdan serta atlet gimrama, Ng Joe Ee yang juga Olahragawati Kebangsaan.
Beliau diangkat sebagai Atlet Terbaik 2022 berdasarkan pencapaiannya merangkul gelaran dunia kelima dalam Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Dunia di Phuket, Thailand, Disember tahun lalu.
Anugerah itu menjadi pengubat duka buat Syarul setelah kerap gagal mengungguli gelaran Olahragawan Kebangsaan biarpun tercalon sebagai finalis empat kali sejak 2016 dalam Anugerah Sukan Negara (ASN).
“Alhamdulillah saya berjaya mendapat anugerah yang pertama sejak mewakili negara pada 2009.
“Saya pernah dicalonkan beberapa kali, namun belum pernah menang, jadi saya amat berterima kasih kepada pihak Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) atas kejayaan ini.
“Ini juga menjadi pembakar semangat untuk saya yang akan ke Kejohanan Bina Badan Asia di Nepal minggu hadapan,” jelas Syarul.
Kali terakhir atlet bina badan menjadi penerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS pada 2013 menerusi Sazali Samad.
Anugerah Atlet Para Terbaik 2022 pula dimenangi juara badminton dunia tujuh kali, Cheah Liek Hou.
Pemain dunia No. 1 ini mengharungi musim menakjubkan apabila mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang tahun lalu.
Liek Hou menewaskan empat calon lain, pemegang rekod dunia powerlifting, Bonnie Bunyau, Nani Shahiera Zawawi (olahraga) serta dua atlet renang Brenda Anellia Larry dan Carmen Lim.
Syarul dan Liek Hou membawa pulang RM10,000 berserta trofi yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
SENARAI PEMENANG ANUGERAH SAM-100PLUS 2022
ATLET TERBAIK: Datuk Mohd. Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan)
ATLET PARA TERBAIK: Cheah Liek Hou (badminton)
TOKOH KEPIMPINAN SUKAN: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
ANUGERAH KHAS 100PLUS: Muhammad Azeem Fahmi (olahraga)
ATLET MUDA TERBAIK: Muhammad Hakim Danish Ramli (permotoran)
PERSATUAN DINAMIK: Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF)