PETALING JAYA: Bekas juara beregu lelaki All England dan Sukan Asia, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mencuri tumpuan peminat badminton negara apabila meninggalkan nasihat ‘mendalam’ secara serentak di media sosial masing-masing tanpa mendedahkan kepada siapa mesej itu ditujukan.
Semalam, Kien Keat berkata, terdapat perbezaan asas antara artis, pempengaruh media sosial (KOLS) dan atlet, di mana dalam dunia sukan semuanya bergantung kepada keputusan bukan pesona.
Boon Heong pula menulis, biarpun pendapatnya mungkin tidak 100 peratus tepat, namun ia juga bukan 100 peratus salah. Jika ia betul, mendengar tidak akan menyakiti mereka.
“Sudah tentu, terdapat perbezaan asas antara artis/ KOLS dan atlet. Artis boleh bergantung pada persona dan komunikasi/kemahiran mereka untuk mengekalkan mata pencarian mereka, manakala atlet mesti membuktikan nilai mereka melalui pencapaian.
“Dalam dunia sukan, semuanya bergantung kepada keputusan. Jika anda boleh menunjukkan prestasi baik secara konsisten, walaupun menghadapi kesukaran, pencapaian diraih akan mendiamkan mulut pengkritik.
“Elak terjebak dalam kontroversi yang akan mengambil sebahagian besar perhatian dan tenaga positif anda.
“Ingat mengapa anda bermula dan fokus kepada impian yang ingin anda capai. Apabila anda secara konsisten terperangkap dalam kontroversi, sukar untuk kekal fokus dan mencapai keputusan yang baik,” tulis Kien Keat dalam Facebook dan Instagram.
Bekas beregu No. 1 dunia itu turut menasihatkan atlet yang bergelut dengan masalah agar bersedia secara mental dan fizikal memandangkan ia amat penting bagi membantu memulihkan prestasi mereka.
Sementara itu, Boon Heong, yang mempunyai 515,000 pengikut di Facebook berkata, ramai yang mempertikaikan apabila seorang ‘tokoh senior’ memberikan pandangan.
Tanpa mendedahkan siapa ‘tokoh senior’ yang dimaksudkan, namun dipercayai, Boon Heong mempertahankan bekas perseorangan No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei yang ‘dibelasah’ peminat gara-gara memuji pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang merangkul kejuaraan dunia minggu lalu.
Dalam temubual bersama media, Chong Wei berkata: “Kunlavut seorang budak yang merendah diri, sangat sopan dan sentiasa bersedia untuk belajar. Dengan sikap seperti itu, tidak hairanlah dia kini juara dunia.
“Saya berharap dapat melihat pemain Malaysia kita mengikut jejaknya. Belajar untuk merendah diri seperti Kunlavut.”
“Sebagai orang lama, bila anda menyuarakan pendapat, ramai orang bertanya, apakah kamu layak untuk bercakap? Kamu juga tidak pernah memenangi kejuaraan dunia. Ketika menjadi pemain, kamu tidak berdisiplin, tetapi sekarang kamu cakap banyak.
“Jadi, saya mahu tanya kepada kamu, bila ibu bapa kamu memberi tunjuk ajar, bolehkah kamu yakin mereka tidak pernah melakukan kesilapan pada zaman muda mereka dan sentiasa memilih jalan yang betul, mereka tidak pernah melulu? Malah ada yang mungkin terlibat dalam aktiviti terlarang, seperti menjual dadah, dan mungkin telah menghadapi masa penjara.
“Namun, apabila mereka menjadi ibu bapa, harapan terbesar mereka adalah agar anak-anak mereka tidak mengulangi kesilapan mereka.
“Saya menyimpan sentimen yang sama seperti seorang ‘tokoh senior’ itu. Kami sentiasa berkongsi pengalaman kami, memupuk harapan bahawa pemain generasi sekarang akan mengatasi kami.
“Inilah sebabnya saya bersungguh-sungguh berkongsi dan mentor. Nasihat saya mungkin tidak selalu tepat, tetapi ia juga tidak terkeluar sepenuhnya.
“Jika apa yang saya katakan bergema, menerimanya hanya boleh memberi manfaat kepada anda. Jika tidak, abaikan sahaja. Tiada salahnya kedua-dua pilihan.”
Boon Heong menyambung: “Bagi mereka yang bertanya, ‘Tan Boon Heong, adakah anda tidak takut dengan tindak balas?’ Saya hanya bercakap benar, tanpa berhias. Jika saya berdepan tindak balas, tidak mengapa. Ini bermakna orang ramai masih memberi perhatian kepada saya.” – UTUSAN ONLINE