PETALING JAYA: Malaysia terlepas peluang melakar sejarah apabila tumpas 4-3 kepada tuan rumah India di pentas final kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishnan itu, permainan berlangsung sengit dengan India bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan anak-anak buah Arul Selvaraj.
Saingan sengit bermula sejak awal permainan dan India terlebih dahulu mengejutkan anak buah Arul pada minit kesembilan apabila Jugraj Sigh menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Bagaimanapun, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal untuk suku pertama berakhir 1-1.
Bersambung suku kedua, Muhammad Razie Abd Rahim meletakkan skuad negara dihadapan pada minit ke-18 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Muhammad Aminuddin Mohd Zain menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-28.
Pada suku ketiga, India mempamerkan taring sebenar mereka apabila berjaya menjaringkan dua gol pantas menerusi penalti Harmanpreet Singh dan gol padang Gurjant Singh pada minit ke-45.
Gol kemenangan India terhasil pada suku keempat menerusi gol padang, Akashdeep Singh pada minit ke-56 selepas pertahanan Malaysia hilang kawalan bola di bahagian tengah.
Biarpun muncul selaku naib juara ACT 2023, prestasi anak-anak buah Arul wajar mendapat pujian apabila mereka mara ke final buat kali pertama di kejohanan itu dan ia pasti menjadi persiapan terbaik menjelang Sukan Asia Hangzhou pada September depan.- UTUSAN ONLINE