Malaysia sapu lima pingat emas Skuasy Remaja Asia

Malaysia sapu lima pingat emas Skuasy Remaja Asia

AIRA Azman (dua kiri) dan K. Sehveetrraa (kiri) meraih pingat emas dan perak pada Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia di Dalian, China, hari ini. - Ihsan Persekutuan Skuasy Asia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia membawa pulang lima daripada lapan pingat emas yang ditawarkan pada perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Individu Remaja Asia di Dalian, China, hari ini.

Sebelum turun ke gelanggang, tiga gelaran telahpun menjadi milik Malaysia, apabila enam wakil negara bertembung sesama sendiri dalam kategori lelaki dan perempuan bawah 19 tahun serta bawah 13 tahun.

Aira Azman yang diletakkan sebagai pilihan pertama untuk perempuan bawah 19 tahun mengekalkan rentak cemerlang apabila merangkul gelaran keenam dalam penampilan terakhirnya pada Kejohanan Remaja Asia.

Pemain berusia 19 tahun itu dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas rakan senegara, K. Sehveetrraa 9-11, 11-6, 11-8, 11-1 bagi mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada tahun lalu.

Aira ketika dihubungi selepas perlawanan melahirkan rasa gembira dengan prestasi yang dipamerkannya sepanjang kejohanan itu.

“Bukan mudah sebenarnya berdepan Sehveetrraa, lebih-lebih lagi saya sebagai juara bertahan.

“Saya terpaksa menggalas tekanan yang lebih tinggi dalam usaha mempertahankan gelaran,” katanya.

Pilihan pertama, Joachim Chuah menjuarai saingan lelaki untuk kategori sama apabila dia menewaskan rakan senegara, Harith Danial Jefri dalam pertarungan yang berlanjutan sehingga ke set penentuan 11-9, 7-11, 10-13, 11-6, 13-11.

Untuk aksi final lelaki bawah 17 tahun pula, Low Wa Sern yang memegang status sebagai pilihan kedua mengejutkan pilihan pertama, Na Jooyoung dari Korea Selatan 11-6, 11-9, 5-11, 13-11.

Sementara itu, nasib berbeza mengiringi Jayden Oon dan Harleein Tan yang bersaing dalam kategori lelaki serta perempuan bawah 15 tahun.

Jayden mengekalkan prestasi cemerlang apabila menyingkirkan pilihan ke-3/4, Shunsaku Kariyozono dari Jepun 4-11, 11-4, 11-5, 11-5, manakala,

Harleein gagal mencipta kejutan ke atas pilihan pertama, Helen Tang dari Hong Kong.

Bagi kategori perempuan bawah 13 tahun yang menemukan dua pemain Malaysia menyaksikan M. Jnoreeka Ning menumpaskan Niea Chew 11-6, 9-11, 11-6, 16-14.

Jurulatih skuasy negara, Shahril Shahidan berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan ke semua para pemainnya, termasuk yang tewas pada pusingan sebelum ini.

“Ramai pemain luar negara memuji pemain kita yang bermain dengan penuh semangat tanpa mudah mengalah.

“Walaupun mereka hampir kalah, tetapi pemain kita tetap beraksi bermati-matian sehingga mata terakhir. Bagi saya masa depan pemain negara kita di landasan yang tepat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya