PETALING JAYA: Skuad badminton remaja boleh menarik lega apabila mereka mendapat laluan mudah dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia BWF 2023 yang akan berlangsung di Washington, Amerika Syarikat (AS) pada 25 September hingga 8 Oktober ini.
Skuad remaja negara yang masih lagi terkesan dengan ketiadaan ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek yang mempunyai konflik dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) diundi bersama England, Latvia, Austria dan Poland dalam Kumpulan C.
Untuk layak ke suku akhir, Malaysia perlu menjadi juara kumpulan.
Ia bakal menjadi misi menebus maruah selepas kegagalan di Kejohanan Badminton Remaja Asia bulan lalu serta edisi Kejohanan Remaja Dunia pada tahun lalu apabila Malaysia gagal mara ke peringkat suku akhir.
Juara bertahan Korea Selatan diundi bersama-sama pemenang 13 kali, China dengan Australia, Belanda dan Norway dalam Kumpulan A.
Pencapaian terbaik skuad Malaysia di kejohanan ini adalah pada 2011 apabila muncul juara selepas menumbangkan Korea Selatan 3-0 pada aksi akhir. – UTUSAN ONLINE