PETALING JAYA: Malaysia mencipta sejarah mara ke final kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 buat kali pertama apabila membenam juara bertahan, Korea Selatan 6-2 dalam aksi separuh akhir sebentar tadi.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishnan itu, Korea Selatan terlebih dahulu mengejutkan anak buah Arul Selvaraj pada minit kedua menerusi gol padang Ji Woo Cheon.
Bagaimanapun, skuad negara tidak menunggu lama untuk bangkit mengikat kedudukan apabila seminit kemudian Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak menerusi gol padang.
Berselang enam minit kemudian, Muhammad Najmi Farizal meletakkan Malaysia dihadapan menerusi penyudah kemas pukulan sudut penalti sebelum Jang Honghyun menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-14.
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, skuad negara memperkemaskan permainan dan hasilnya Speedy Tigers mendapat dua gol menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal Saari pada minit ke-19 dan Muhammad Najmi minit ke-21.
Keputusan 4-2 itu kekal sehingga suku kedua berakhir dan ketika suku ketiga bersambung kedua-dua pasukan buntu untuk menambah jaringan.
Pada suku terakhir, Malaysia semakin selesa apabila giliran Shello Silverius pula mempamerkan kelincahannya apabila berjaya menembusi dua kali gawang Korea Selatan iaitu pada minit ke-47 dan minit ke-48.
Kemenangan itu menyaksikan anak-anak buah Arul mara ke final dengan bergaya dan akan menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara tuan rumah India dan Jepun di pentas akhir..
Sebagai rekod, Malaysia tidak pernah mara ke final ACT sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2011 dengan pencapaian terbaik adalah menduduki tempat ketiga pada edisi 2011, 2012, 2013, 2016 dan 2018.