Lima negara minat dapatkan 'kepakaran' Misbun

Lima negara minat dapatkan ‘kepakaran’ Misbun

Datuk Misbun Sidek (kiri) ditemani Datuk Seri Jalani Sidek dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pengendali badminton negara, Datuk Misbun Sidek tidak menolak kemungkinan untuk berhijrah ke negara luar buat julung kali dalam kariernya.

Bagaimanapun Misbun belum dapat memberikan sebarang kata putus mengenai tawaran yang diterimanya memandangkan masih mahu berehat selepas berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Biarpun dia tidak mendedahkan butiran lanjut tawaran yang diterimanya, difahamkan negara jiran seperti Singapura dan Thailand sedang berusaha untuk melantik pengendali berusia 63 tahun itu serta tiga buah negara lagi.

Seandainya dia bersedia untuk ke luar negara, Misbun mahu negara tersebut bersedia dengan kaedah latihannya tanpa ada campur tangan birokrasi.

“Memang hati saya untuk negara, tetapi kalau khidmat saya masih ditagih oleh luar negara, mereka mahukan ideologi saya untuk membentuk pemain mereka, apa salahnya?

“Kalau ikutkan tawaran itu untuk pasukan senior, yang mereka mahukan adalah dari segi sentuhan penyudah, untuk mengajar mereka bagaimana mahu mencapai kemenangan.

“Saya belum keputusan yang muktamad, kerana ia bergantung kepada beberapa syarat tertentu yang saya telah kemukakan, tetapi untuk buat masa sekarang, saya mahu berehat terlebih dahulu kerana sudah lama saya tidak berehat,” jelas Misbun dalam satu sidang media di ibu kota semalam.

Sekiranya dia bersetuju, Misbun turut bercadang untuk membawa bersama adiknya, Datuk Seri Jalani Sidek sebagai penganalisa.

Dalam masa yang sama, Misbun juga menjelaskan faktor utama dia enggan menerima semula tawaran dikemukakan BAM adalah tidak mahu mengganggu perancangan skuad remaja yang bersiap untuk menghadapi Kejohanan Remaja Dunia yang akan berlangsung di Washington, Amerika Syarikat (AS) 23 September depan.

“Saya telah membuat keputusan untuk menolak tawaran itu kerana saya tidak mahu ganggu persiapan skuad remaja ke kejohanan dunia, mungkin perancangan sudah diatur.

“Memang saya yang aturkan program, sejak dari kejohanan dunia tahun lalu. Tetapi kali ini saya akur, kerana dalam tempoh dua minggu ini banyak perkara telah berlaku dan kesuntukan waktu,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya