PETALING JAYA: Kejayaan skuad hoki 5 sebelah (5s) wanita negara layak secara merit ke Piala Dunia 5s di Muscat, Oman, Januari tahun depan satu pencapaian luar biasa.
Ini kerana Malaysia menampilkan aksi kurang menyakinkan dalam Piala Asia 5’s 2023 apabila menjadi pasukan belasahan di peringkat kumpulan, tewas kepada India, Thailand dan Jepun.
Di peringkat crossover mereka bangkit membenam Hong Kong 5-3 untuk layak ke separuh akhir, namun sekali lagi tumpas kepada India 5-9, sekali gus bermain untuk kedudukan ketiga/keempat.
Malaysia akhirnya mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Indonesia menerusi penentuan shoot out, selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dalam tempoh 30 minit permainan.
“Persembahan yang ditampilkan bukan seperti dirancang, namun pemain menunjukkan keinginan tinggi pada 10 minit terakhir untuk menyamakan kedudukan dan mengheret perlawanan ke penentuan shoot out.
“Objektif kejohanan tercapai, namun untuk menghadapi kejohanan Piala Dunia, persiapan rapi perlu dilakukan terutama dari segi kecergasan dan ketahanan mental yang cukup tinggi,” kata Ketua jurulatih negara, Nabil Fiqri Mohd. Noor.
Skuad negara mengiringi dua finalis, India dan Thailand ke pentas Piala Dunia Hoki 5’s yang julung kali dianjurkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada Januari tahun depan.
India muncul juara edisi pertama Piala Asia Hoki 5’s selepas menewaskan Thailand 7-2 pada pentas final.