PETALING JAYA: Langkah Lee Zii Jia pada kejohanan badminton Terbuka Australia berakhir hari ini selepas tumpas pada separuh akhir di Sydney.
Pemain No. 17 dunia itu kalah 19-21, 21-13, 13-21 kepada Weng Hong Yang dari China.
Selepas bertarung selama satu jam, 33 minit ketika menumpaskan rakan senegara, Ng Tze Yong 17-21, 26-24, 21-19 semalam, Zii Jia bermula hebat apabila mendahului 7-3 dan 10-7.
Begitupun, dia membenarkan lawan mengejar 13-13 sebelum kalah 19-21 dalam set pembukaan yang berlangsung 24 minit.
Zii Jia yang tersingkir di pusingan pertama dalam empat kejohanan berturut-turut sebelum memulakan kempen di Australia kemudian mendahului 8-3 dan 11-7 di set kedua.
Dia menunjukkan keyakinan dengan membuka jurang kepada 18-11 untuk menutup set kedua 21-13.
Perlawanan berlangsung sengit di awal set penentuan, namun sebaik sahaja Hong Yang berjaya memenangi lapan mata berturut-turut untuk mendahului 14-6, Zii Jia langsung tidak terkejar.
Ia adalah penampilan separuh akhir pertama buat bekas juara All England dan Asia itu sejak Terbuka Switzerland pada Mac.
Biarpun masih gagal mencari kejuaraan pertama tahun ini, berjaya melangkah ke separuh akhir Terbuka Australia mengukuhkan peluang Zii Jia untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Sekiranya Zii Jia dan Tze Yong masing-masing menamatkan kempen kelayakan di luar kelompok 16 terbaik dunia, hanya pemain Malaysia yang menduduki ranking teratas akan layak ke temasya Paris. – UTUSAN ONLINE