BANGKOK: Kunlavut Vitidsarn menerima sambutan hangat daripada peminat badminton Thailand setibanya di Bangkok semalam selepas melakar kejutan terbesar dengan muncul juara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ahad lalu.
Berusia 22 tahun, Kunlavut muncul pemain Thailand ketiga bergelar juara badminton dunia selepas menumpaskan Kodai Naraoka dari Jepun 19-21, 21-18, 21-7 dalam perlawanan akhir.
Tahun lau, Kunlavut turut berjaya mara ke final tetapi kalah kepada Viktor Axelsen dari Denmark.
“Saya sangat gembira akhirnya memenangi gelaran dunia selepas tewas di final tahun lalu. Sudah tentu kemenangan ini impian saya sekian lama,” katanya sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi.
Melihat sambutan hangat yang diterima sekembalinya dari Bangkok, Kunlavut semakin bersemangat untuk memburu kejayaan lebih besar, dan sasaran terdekat adalah Sukan Asia di Hangzhou, China yang bermula pada 23 September nanti.
Begitupun dia menegaskan, enggan terlalu memikirkan tentang Sukan Asia dan akan berlepas ke Changzhou minggu depan untuk beraksi pada Terbuka China terlebih dulu.
“Saya tidak mahu fikir terlalu jauh (Sukan Asia), ia hanya akan memberi tekanan kepada diri sendiri, jadi lebih baik saya teruskan latihan dan perbaiki kecergasan,” kata pemain No. 3 dunia itu.
Bapa Kunlavut, Nattawat yang turut berada di lapangan terbang semalam berkata, kejayaan anaknya memenangi gelaran dunia pada usia 22 tahun itu sesuatu yang tidak diduga tetapi memberi inspirasi kepada ramai orang, terutama anak muda.
“Anak saya memilih sukan ini kerana alahan, jadi muncul juara dunia adalah sesuatu yang di luar jangkaan kami,” katanya. – AGENSI