KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur City (KL City) FC tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan Penang FC 1-0 dalam perlawanan kedua pusingan 16 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Nenad Bacina mara ke suku akhir dengan agregat 5-0 selepas mereka menang selesa 4-0 dalam perlawanan pertama minggu lalu.
Pada aksi terbabit, pasukan pelawat terlebih dahulu melakukan asakan dengan percubaan pemain import mereka, Sonny Saad terkena palang pada minit keenam selain turut merencanakan beberapa lagi gerakan berbahaya.
Pada minit ke-15, KL City tambah tertekan apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Giancarlo Gallifuoco dilayangkan kad merah kerana mengasari Sonny.
Bagaimanapun, Penang gagal memanfaatkan peluang tersebut dan gagal menjaringkan sebarang gol pada separuh masa pertama dengan kelebihan kekal milik KL City.
Bersambung babak kedua, KL City memperkemaskan taktikal dan hasilnya mereka berjaya memperolehi gol kemenangan pada minit ke-69 menerusi penyudah Tchetche Kipre.
Tiada tambahan gol dapat disaksikan dan keputusan 1-0 kekal berpihak kepada KL City sehingga wisel penamat dibunyikan.
Di peringkat suku akhir, KL City akan bertemu dengan pemenang antara Sri Pahang FC dan Harini FT yang akan bertembung pada Ahad ini- UTUSAN ONLINE