PETALING JAYA: Cabaran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam Kejohanan Badminton Dunia berakhir awal selepas tersingkir pada pusingan kedua acara beregu campuran di Copenhagen, Denmark hari ini.
Pasangan profesional negara itu yang membuat penampilkan ketujuj tumpas 15-21, 18-21 kepada pilihan ke-12 dari Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dalam masa 37 minit.
Kian Meng-Pei Jing sebelum itu menumpaskan gandingan Maldives, Hussein Zayan Shaheed-Fathimath Nabaaha Abdul Razzaq 21-4, 21-6 pada pusingan pertama.
Harapan pasangan No. 21 itu untuk terus mengejar tiket ke Sukan Olimpik Paris tahun depan masih menyala, namun perlu mencari keputusan baik dalam kejohanan kelayakan seterusnya.
Mereka akan beraksi dalam Terbuka China bulan depan dan bakal berdepan pasangan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai pada pusingan pertama.
Beregu profesional itu berdepan musim sukar tahun ini apabila sering terkandas pada pusingan pertama atau kedua. – UTUSAN ONLINE