PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berpendapat bahawa dia seharusnya hanya diberikan amaran berbanding disingkirkan daripada pusingan kedua acara pecut individu di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland, kelmarin.
Hukuman itu dikenakan terhadap pelumba berusia 35 tahun itu ketika menentang pelumba Australia, Tom Cornish yang menyaksikan kemenangannya dibatalkan.
Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe mengakui dia termasuk sedikit ke dalam laluan Cornish tetapi menegaskan ia adalah secara tidak sengaja dan tidak memberi apa-apa halangan dan membahayakan pihak lawan.
“Berbeza dengan masuk atau mengimpit dengan sengaja, saya yang tersedar ketika hilang kawalan terus cepat-cepat keluar tanpa memberi apa-apa halangan dan membahayakan pihak lawan.
“Ketika perkara ini dibawa kepada pihak komisar, mereka bersetuju dengan hujah daripada pihak kami (yang kami tidak sengaja dan tidak bersalah) tetapi mereka masih memilih untuk tidak mengubah keputusan relegation (penyingkiran) tersebut.
“Antara kekurangan sukan ini adalah, seluruh keputusan perlumbaan adalah termaktub bulat-bulat kepada pihak komisar. Pelumba dan pasukan tiada kuasa untuk mencabar keputusan mereka. Lagi naya apabila yang membuat keputusan ini adalah mereka yang mungkin tidak pernah pun berlumba basikal.
“Mengikut pengalaman lepas, kesilapan seperti itu biasanya diberikan amaran (warning) sahaja kerana ia bersifat tidak sengaja dan tidak pun ia membahayakan pihak lawan. Bagaimanapun, sebagai seorang atlet profesional, saya menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka dan mengucapkan selamat maju jaya kepada pihak lawan di peringkat seterusnya.
“Jurulatih John Beasley sangat berang dengan situasi tersebut dan sikit lagi beliau nak jadi ‘hijau’ tadi. Namun saya beritahu beliau yang mungkin ada hikmah di sebalik semua ini dan Allah ada perancangan untuk saya dan pasukan,” tulis Azizulhasni di Facebook miliknya.
Dalam pada itu, Azizulhasni turut memohon maaf di atas kegagalannya tidak dapat meneruskan perjuangan dalam acara pecut individu lelaki tersebut namun dia tekad untuk bangkit dalam acara kegemarannya keirin yang akan membuka tirainya esok.
“Bermula dengan pusingan kelayakan di tempat ke-4 dan pengakhirannya seperti ini bukanlah sesuatu yang saya kehendaki. Langkah terhenti di sini dan tumpuan akan diberikan sepenuhnya kepada acara keirin yang akan bermula pada 8 dan 9 nanti.
“Saya memohon maaf kepada semua penyokong dan juga rakyat Malaysia kerana tidak dapat lagi meneruskan perjuangan untuk acara pecut,” ujarnya.
Terdahulu, dalam acara pecut pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman terpaksa akur menamatkan saingan pecut di kedudukan kesembilan.-UTUSAN