BERLIN: Kapten England, Harry Kane tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri di Jerman dengan dia mengakui teruja dengan keserasian bersama rakan sepasukan yang baharu.
Bercakap selepas menjaringkan dua gol pada penampilan sulungnya dalam liga ketika Bayern menang 3-1 ke atas Augsburg, Kane berkata, dia sudah membina persefahaman di atas padang dengan rakan-rakannya.
“Saya sudah berada di sini beberapa minggu dan saya menyukai tarikan kimia yang kami bina. Ia akan berkembang lebih dan lebih apabila kami bermain,” kata Kane.
Kane menjaringkan gol kedua Bayern dari sepakan penalti pada penghujung separuh masa pertama dan menambah jaringannya pada pertengahan babak kedua.
Kane berpindah ke Bayern dari Tottenham, di mana dia menghabiskan seluruh kariernya tanpa memenangi trofi pada awal Ogos.
Bayern memecahkan rekod perpindahan mereka untuk menandatangani kapten England itu apabila membayar 100 juta euro (RM502.39 juta).
Ketika menandatangani kontrak dengan juara Jerman itu, Kane berkata dia datang ke Bayern untuk memenangi trofi dan menjadi lebih baik.
Dia kini sudah meledakkan tiga gol dan membantu dua gol dalam dua perlawanan Bundesliga.
“Setiap hari kami belajar dalam latihan, setiap perlawanan kami belajar lebih banyak tentang satu sama lain,” tambahnya.-AGENSI