PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh akan tetap memegang segala ajaran yang pernah dicurahkan bekas jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek biarpun pengendali berusia 63 tahun itu sudah tidak lagi bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Justin adalah antara produk dihasilkan Misbun sepanjang enam tahun menabur bakti bersama badan induk itu bermula 2017 sehingga dilabel Misbun sebagai pengganti Datuk Lee Chong Wei, selain Lee Zii Jia, Ng Tze Yong serta pasangan beregu lelaki, Wan Airf Junaidi-Haikal Nazri.
Bagaimanapun dia enggan mengulas lanjut tindakan BAM yang menaikkannya ke pasukan senior pada tahun lalu biarpun Misbun akui tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.
Lebih malang, hanya empat bulan berada dalam skuad senior, Justin ditimpa kecederaan achilles tendon sehingga meranapkan impiannya untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja 2023 Mei lalu.
“Mengenai hal itu (dinaikkan ke skuad senior), saya tak nak ulas. Perkara ini telah ditentukan oleh BAM, saya hanya mengikut sahaja arahan dikeluarkan.
“Terima kasih kepada jurulatih saya sebelum ini, Datuk Misbun. Tiga tahun saya bersama dia dan tanpa dia, saya tidak boleh berdiri di tempat saya sekarang.
“Banyak benda yang saya belajar daripada dia (Misbun) saya masih pegang dan amalkan sehingga kini, antaranya bangun awal-awal pagi untuk berlatih. Pernah saya berlatih di bawahnya, saya kena berlari seawal 4.30 pagi.
“Dia pernah beri tahu kepada saya, kita atlet bukan macam orang biasa. Orang biasa tengah tidur, kita atlet mesti kena kerja keras baru boleh berjaya,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) semalam.
Dalam pada itu, Justin juga memberi bayangan bahawa mungkin akan kembali beraksi di kejohanan antarabangsa lebih awal, berdasarkan tahap kecergasannya selepas pulih daripada kecederaan achiles tendon.
“Saya rasa sangat gembira apabila dapat kembali berlatih semula dalam gelanggang secepat ini, jadi perkembangannya ketika sangat bagus. Saya tengah tunggu masa, mungkin dalam tempoh dua bulan saya akan kembali beraksi semula.
“Jangkaan untuk saya beraksi di kejohanan antarabangsa mungkin sekitar bulan November ataupun Disember.
“Saya harap saya mampu kembali lebih kuat selepas ini. Dari kecil lagi saya mempunyai impian yang saya mahu jadi juara Olimpik dan juara dunia. Walaupun saya ditimpa kecederaan, impian ini tak pernah hilang,” tambahnya