JOHOR BAHRU: Turun dengan misi membolot semua trofi yang ditawarkan dalam Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT) bersemangat untuk membenam Kelantan FC apabila memulakan kempen mempertahankan Piala Malaysia malam ini.
Masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala FA bulan lalu, anak-anak buah Esteban Solari turun di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu dengan satu misi, memenangi perlawanan dan memastikan misi membolot empat gelaran kekal di landasan.
Biarpun JDT dan Kelantan FC ibarat ‘langit dengan bumi’, satu mengungguli Liga Super dan satu lagi di kedudukan tercorot liga, namun Solari tetap menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan mereka meraih jaringan besar di tempat lawan.
“Kita akan berentap pada pertandingan yang menawarkan peluang menambah koleksi piala dalam kabinet JDT. Ini sasaran baharu pasukan selepas memenangi Piala FA.
“Kami akan menurunkan kesebelasan yang mantap berdepan Kelantan. Kita tidak akan pandang rendah kemampuan mereka,” kata Solari.
JDT merupakan juara bertahan Piala Malaysia setelah menewaskan Selangor FC 2-1 pada final di Bukit Jalil, musim lalu.
Dalam pada itu, Solari sedia membuat penggiliran pemain apabila berdepan Kelantan FC memandangkan berdepan jadual padat tidak lama lagi.
Katanya, semua pemain bersedia diturunkan pdan bertekad untuk memberikan aksi terbaik seperti yang dituntut pasukan.
“Beberapa pemain kita seperti Forestieri (Fernando) dan Diogo (Santo) masih cedera dan kita tidak mahu terburu-buru menurunkan mereka.
Lagipun, Kita ada ramai pemain yang berkualiti.
“Jadi, akan ada penggiliran pemain kerana rata-rata pemain dilihat berada pada tahap terbaik dan bersedia bila-bila masa untuk diturunkan,” katanya.