PETALING JAYA: Luqman Hakim Shamsudin akan mengerah segala keringat yang ada bagi memastikan misi skuad negara ke Piala Asia Bawah 23 tahun (B-23) di Qatar, tahun depan menjadi kenyataan.
Luqman, 21, antara 25 pemain yang dipanggil oleh jurulatih, E. Elavarasan ke kem latihan skuad B-23 bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 yang berlangsung di Bangkok, Thailand dari 6 hingga 12 September ini.
“Sudah tentu saya amat gembira apabila dapat kembali bersama skuad negara.
“Misi saya nak bantu pasukan layak ke Qatar tahun depan, itu adalah impian untuk mana-mana pemain membawa nama Malaysia ke pentas tertinggi.
“Saya akan cuba beri yang terbaik seperti dikehendaki jurulatih dan saya percaya rakan-rakan lain pasti melakukan perkara sama,” katanya yang kini masih berada di Iceland bersama kelabnya, Njarovik FC.
Terdahulu skuad B-23 gagal mencapai sasaran dalam dua saingan iaitu di Sukan SEA Kemboja dan Kejohanan AFF B-23.
Kelayakan ini menjadi peluang terakhir untuk mereka menebus kegagalan itu dengan barisan terbaik akan dipertaruhkan Elavarasan kali ini selepas gagal mendapatkan skuad terliat pada dua pertandingan sebelum ini.
Selain Luqman yang sudah tiga musim berkelana di Eropah, seorang lagi pemain berpengkalan di benua sama iaitu Nooa Laine di Liga Finland bersama kelab SJK Seinajoki FC turut disenaraikan bagi memperkuatkan bahagian tengah.
Pemain utama Liga Malaysia turut disenaraikan kembali seperti tonggak Selangor FC, Mukhairi Ajmal; Harith Haiqal dan Ahmad Zikri Khalili serta pemain Terengganu FC, Azam Azmi Murad; Safwan Mazlan dan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Sikh Izhan Nazrel.
Menyenaraikan skuad terbaik memberi bayangan Elavarasan mahu menggunakan talian hayat terakhir ini selepas dikecewakan pada dua saingan sebelumnya.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan H bersama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah, Thailand.