PETALING JAYA: Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Barcelona 1992, Datuk Seri Jalani Sidek kurang senang dengan tindakan kem perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia dan jurulatihnya, Wong Tat Meng membangkitkan isu tidak membabitkan pemakaian pasukan berlainan jenama di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Bagi Jalani, barisan pemain profesional perlu menghargai peluang diberikan Persatuan Badminton Malaysia (ABM) yang membuka pintu buat mereka memandangkan keistimewaan sebegini tidak wujud ketika era beliau menjadi pemain.
Terdahulu, Tat Meng telah memuatnaik satu hantaran menjelaskan ketiadaan dia dan anak buahnya berlatih di ABM selepas badan induk itu menguatkuasakan polisi pemakaian jenama sukan yang berbeza dengan BAM beberapa sebelum Kejohanan Badminton Dunia berlangsung di Copenhagen, Denmark.
“Bagi saya ini kelebihan ini pemain dahulu langsung tidak dapat, kini mereka (pemain profesional) mendapatnya, tetapi kena perlu dibangkitkan isu t-shirt?
“Yang penting pemain di luar dapat berlatih dengan barisan pemain BAM.
“Kenapa Lee Zii Jia keluar daripada BAM sedangkan dia tahu barisan bakat yang adalah dalam badan induk dapat membantunya?
“Kalau anda rasa anda sebagai pemain profesional lebih bagus daripada pihak persatuan, janganlah sertai latihan di BAM, mudah,” jelas Jalani dalam satu sidang media di ibukota hari ini.
Terdahulu Datuk Lee Chong Wei turut menyelar tindakan Tat Meng dan Zii Jia kerana sengaja mahu menimbulkan isu yang tidak sepatutnya.
“Saya setuju dengan pendapat Lee Chong Wei, kenapa negara Jepun boleh buat. Siapa yang main untuk negara walaupun bermain guna Mizuno atau jenama lain tapi tetap hormat penaja badan induk.
“Bila persatuan ada undang-undang dan peraturan mereka kena ikut dan akur. Bagi saya ia adil dan benda remeh seperti ini bagi saya tak perlu diperbesarkan dan perlu sedar bahawa mereka orang luar dan bukan BAM lagi.
“Akibatnya ia tak bagus untuk senario badminton negara. Kalau betul mereka nak berlatih di dalam kena berkorban dan bagi saya isu ini tak patut berlaku,” tambah Jalani.