KUALA LUMPUR: Ivan Yuen dan Aira Azman muncul juara Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE SRAM ke-38 selepas menundukkan lawan masing-masing dalam perlawanan akhir di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.
Pilihan kedua, Ivan menewaskan pilihan pertama, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar 11-6, 11-8, 6-11, 11-6 dalam aksi yang berlangsung hampir sejam.
Kemenangan ke atas Addeen, menyaksikan pemain veteran berusia 33 tahun itu merangkul gelaran kelimanya sejak kali pertama berjaya berbuat demikian pada 2017, 2018, 2019 dan 2020.
Sementara itu, Aira yang diletakkan sebagai pilihan kedua menundukkan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan, Ainaa 11-5, 7-11, 11-3, 11-9 dalam masa 24 minit.
Kejayaan tersebut merupakan kemenangan sulung Aira di peringkat kebangsaan.
Lebih manis lagi, pemain berusia 19 tahun itu mencatat keputusan podium ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga minggu selepas muncul naib juara dalam acara perseorangan dan berpasukan pada Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Melbourne, Australia. – UTUSAN ONLINE