Ivan, Addeen ke separuh akhir Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz

Ivan, Addeen melangkah ke separuh akhir Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz

MUHAMMAD Addeen Idrakie Bahtiar (kiri) dan Ivan Yuen berjaya meneruskan kemaraan ke separuh akhir pada Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. - Gambar FB SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pemain perseorangan lelaki negara, Ivan Yuen dan Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar menempah slot ke separuh akhir selepas menyingkirkan lawan masing-masing pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Skuasy Trofi Tuanku Muhriz di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Juara Kejohanan Skuasy Kebangsaan, Ivan menewaskan Yannick Wilhelmi dari Switzerland 11-6, 11-8, 12-10, untuk menempah pertembungan dengan wakil Mesir, Aly Hussein, esok, bagi merebut tempat ke perlawanan akhir.

Pilihan keempat, Ivan ketika ditemu bual selepas perlawanan berkata, banyak yang dia belajar daripada aksi suku akhir, hari ini, apabila lawannya Wilhelmi tidak memberi laluan mudah kepadanya.

“Semasa set ketiga, saya terlalu tergesa-gesa untuk melengkapkan permainan, sementara, lawan pula beraksi tanpa tekanan kerana tahu dia tidak rugi apa-apa.

“Wilhelmi berikan segalanya apa yang dia ada, dia bermain lebih laju pada set ketiga, mungkin perubahan corak permainan secara tiba-tiba mengganggu rentak saya.

“Tetapi mujurlah saya berjaya bangkit dan saya gembira dapat kembali mendapatkan rentak permainan serta bertahan sehingga ke hujung aksi,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas aksi separuh akhir, esok, pemain berusia 33 tahun itu memberitahu, berdepan wakil Mesir, Aly bukanlah satu tugas mudah.

“Saya perlu bersiap sedia untuk perlawanan itu, tanpa mengira siapa lawan saya, apa yang penting fokus saya kepada pertandingan yang disertai ketika ini,” ujarnya yang muncul sebagai naib juara pada Kejohanan Trofi Tuanku Muhriz, tahun lalu.

Sementara itu, dalam satu lagi suku akhir, seorang lagi wakil Malaysia, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar dipaksa berhempas pulas sebelum meraih kemenangan ke atas pilihan kelima, Yassin Elshafei dari Mesir 11-7, 12-10, 12-10.

Pada peringkat empat terbaik, Addeen yang diletakkan sebagai pilihan ketiga bakal berdepan laluan lebih getir bertemu pilihan kedua, Muhammad Asim Khan dari Pakistan.

“Esok, saya bakal berdepan perlawanan yang sukar menentang Asim, dia seorang pemain yang bagus dan mempunyai banyak helah dalam permainannya.

“Saya perlu mengekalkan perancangan yang telah saya atur dan cuba berikan yang terbaik dan apa yang penting saya tidak boleh terlalu terikat beraksi di hadapan gelanggang yang mana ia merupakan kekuatan Asim,” ujar Addeen ketika ditemui selepas perlawanan.

Menurutnya, dia perlu mengajak lawannya itu beraksi lebih lama di belakang gelanggang dan berdepan pemain seperti Asim amat penting mengekalkan rentak permainan yang berdisiplin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya