CHENNAI, India: Impian skuad hoki negara untuk meneruskan rentak kemenangan di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2023 tidak kesampaian setelah disekat tuan rumah, India dalam aksi yang berlangsung di Stadium Mayor Radhakrishnan semalam.
Barisan anak buah Arul Selvaraj dipaksa bekerja keras berdepan India yang merupakan pasukan No. 4 Dunia dan tuan rumah bermula baik apabila Selvam Karthi di hadapan 1-0 pada minit ke-15.
Hardik Singh kemudian menggandakan jaringan buat India di suku kedua menerusi pukulan sudut penalti.
India semakin selesa apabila giliran Harmanpreet Sigh apabila pukulan kencangnya menerusi pukulan sudut penalti berjaya menembusi gawang Malaysia pada minit ke 42.
Gurjant Singh terus menambah derita Speedy Tigers apabila berjaya melepas kawalan pertahanan Malaysia untuk menjaringkan gol keempat India pada minit ke 53, sebelum Jugraj Singh melengkapkan malam gemilang tuan rumah seminit kemudian menerusi pukulan sudut penalti.
Biarpun tewas, Malaysia masih lagi berada di kedudukan kedua carta keseluruhan dengan meraih enam mata, hanya kurang satu mata di belakang pendahulu, India.
Selepas ini Malaysia akan berdepan skuad Jepun hari ini untuk aksi keempat peringkat kumpulan.