PETALING JAYA: Langkah Lee Zii Jia pada Kejohanan Badminton Dunia terhenti di pusingan ketiga selepas disingkirkan pemain tuan rumah, Anders Antonsen di Copenhagen, Denmark awal pagi tadi.
Pemain No. 13 dunia itu tewas 18-21, 17-21 kepada pilihan ke-12, Antonsen dalam masa 53 minit.
Zii Jia memberi pujian kepada lawannya kerana bermain lebih baik pada hari itu.
“Anders mengawal permainan hari ini dan dia bermain dengan sangat baik.
“Dia juga mempunyai kelebihan di laman sendiri dan penonton di belakangnya.
“Dia bermain hebat, saya telah tewas kepada pemain yang lebih baik hari ini (semalam),” katanya.
Cabaran Malaysia dalam perseorangan lelaki di Royal Arena kini berakhir selepas kekalahan Zii Jia.
Harapan Malaysia kini terletak kepada tiga pasangannya iaitu penyandang juara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang berjaya mara ke suku akhir. – UTUSAN ONLINE