PETALING JAYA: Inter Club Football League (ICFL) terus memperkukuhkan jenamanya dalam kalendar penganjuran liga bola sepak diperingkat akar umbi apabila menganjurkan ICFL Asean Cup 2023 yang turut melibatkan pasukan daripada Indonesia.
Kejohanan itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Tigre Arena, Sungai Buloh dan pasukan Indonesia yang hadir menyertai kejohanan ini ialah Askab PSSI Banyuwangi yang merupakan kelab pembangunan di negara berkenaan.
Sebanyak 12 pasukan akan menyertai kejohanan ini dengan baki 11 lagi pasukan adalah dari dalam negara yang terdiri daripada pasukan-pasukan yang berstatus kelab dan juga projek pembangunan negeri di semenanjung tanah air.
Yuran penyertaan untuk kejohanan ini adalah sebanyak RM1,500 bagi setiap pasukan dengan johan akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM3,000 beserta piala dan sijilmanakala tempat kedua akan membawa pulang RM1,000 dan tempat ketiga RM500.
Kejohanan ini adalah untuk peringkat umur bawah 17 tahun dengan format yang dimainkan ialah liga sepusingan membabitkan dua kumpulan dengan dua pasukan terakhir akan layak ke peringkat separuh akhir sebelum dua pasukan akan berentap di final.
“Penganjuran kejohanan ini menandakan ICFL selangkah ke hadapan dalam penganjuran liga bola sepak di peringkat akar umbi. Keputusan untuk membuka penyertaan kepada pasukan luar negara ada untuk menambah prestij acara anjuran ICFL.
“Kita percaya, kejohanan sebegini sememangnya dinanti-nantikan oleh pasukan dari dalam dan luar negara kerana mereka sememangnya mencari kejohanan yang kompetetif untuk mengasah bakat pemain dan menilai kebolehan pasukan.
“Ini bukanlah kejohanan terakhir yang diadakan di peringkat tertinggi kerana ICFL sentiasa melihat kehadapan untuk menganjurkan kejohanan lebih besar dan ini juga merupakan sebahagian usaha ICFL untuk membangunkan bola sepak negara,” kata Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokthar dalam satu kenyataan.
Sementara itu katanya, ICFL berterima kasih kepada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Pelancongan Selangor yang sudi tampil selaku penaja untuk menjayakan lagi penganjuran kejohanan tersebut.
Dalam pada itu katanya, IFCL turut menganjurkan kejohanan Supa Jaguh ICFL bawah 10 dan 12 tahun dengan motif utama bagi mencari pasukan B-10 untuk mewakili ICFL ke kejohanan peringkat umur yang berlangsung di Thailand pada Disember depan.
“Kita mencari satu pasukan untuk dihantar ke Thailand untuk menyertai kejohanan yang dianjurkan oleh kelab gergasi Sepanyol, Barcelona. Kita akan taja sepenuhnya pasukan termasuk jurulatih mereka untuk menyertai kejohanan di Thailand itu,” kata Kamil.-UTUSAN ONLINE