SEREMBAN: Negeri Sembilan mendapat kekuatan tambahan untuk menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini apabila mendapat sentuhan pemain sayap Selangor FC, Hein Htet Aung menerusi pinjaman.
Skuad Jang dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan pemain muda Myanmar berusia 21 tahun itu akan menyertai pasukan tersebut pada jendela perpindahan kedua sehingga musim berakhir.
“Htet Aung berasal dari Myanmar, bakal beraksi bersama skuad Negeri Sembilan secara pinjaman dari Selangor FC untuk baki musim 2023.
“Dia boleh bermain sebagai pemain sayap dan penyerang. Htet Aung memulakan kerjayanya di Liga Malaysia bersama Selangor FC pada tahun 2021.
“Memiliki ketinggian 1.74 meter, Htet Aung bakal menyarung jersi bernombor 10,” kata Negeri Sembilan dalam satu kenyataan.
Htet Aun yang pernah beraksi buat kelab Myanmar, Hantharwady United tiba di Selangor pada 2021 dengan beraksi bersama Selangor II sebelum naik ke skuad senior Red Giants.
Dia mencatat 55 penampilan serta menjaringkan empat gol selain mencipta 13 bantuan sepanjang bersama Selangor FC.
Perpindahan ini bakal memberi nafas baharu kepada pemain itu selepas menyaksikan minit permainannya yang terhad sejak kebelakangan ini ekoran persaingan sengit di bahagian serangan Selangor.
Negeri Sembilan akan memulakan cabaran dalam Piala Malaysia menentang Kelantan United FC di tempat lawan, Sabtu ini. – UTUSAN ONLINE