MANCHESTER: Rio Ferdinand memberi amaran kepada penyokong Manchester United agar tidak terlalu mengharap keajaiban daripada Rasmus Hojlund pada musim pertamanya di Old Trafford.
Penyerang Denmark itu dilaporkan telah menyelesaikan pemeriksaan kesihatan petang kelmarin sebelum menandatangani perjanjian 64 juta pound (RM370 juta), malah dikhabarkan mampu meningkat kepada 72 juta pound (RM417 juta).
United melihat potensi besar dalam diri pemain berusia 20 tahun itu walaupun dia hanya menjaringkan 10 gol bersama Atalanta musim lalu sejak tiba dari kelab Austria, Sturm Graz pada 2022.
Bekas pemain pertahanan United, Ferdinand mahu Hojlund diberi masa menyesuaikan diri dengan Liga Perdana Inggeris (EPL), malah dia bimbang situasi pemain muda itu sama seperti Darwin Nunez yang dijangka berkembang pada tahun kedua di England selepas setahun beraksi di Liverpool.
“Sesiapa sahaja yang pernah melihatnya bermain akan nampak ada ciri-ciri yang anda inginkan, dia sesuai dengan EPL. Saya melihatnya sedikit seperti Darwin Nunez di Liverpool.
“Musim lalu adalah musim penyesuaiannya. Dia seorang penyerang muda yang datang ke liga, segala-gala mengenainya sangat sesuai dengan EPL namun itu tidak berjalan sebaik yang dia mahukan.
“Namun saya rasa musim ini kita akan lihat permainan yang berbeza daripadanya untuk Liverpool. Saya tidak akan terkejut jika itu berlaku dengan Hojlund walaupun saya mahu dia mempunyai musim yang lebih baik daripada itu.
“Dia mungkin dapat melakukannya tetapi perlu masa menyesuaikan diri,” katanya.
United bersedia mengumumkan ketibaan Hojlund dalam beberapa hari akan datang dengan potensi penampilan sulung menentang Lens atau Athletic Club dalam dua perlawanan persahabatan hujung minggu ini. – AGENSI