PETALING JAYA: Mohd. Hazwan Jamaluddin berdepan tugas berat memulihkan reputasi perseorangan negara dalam Kejohanan Remaja Dunia bulan depan, apatah lagi dia secara tiba-tiba menjadi ‘nakhoda’ ekoran pemergian Datuk Misbun Sidek.
Pada ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) belum mengumumkan pengganti Misbun yang menolak tawaran kembali ke badan induk itu, Hazwan adalah jurulatih perseorangan paling senior dalam skuad remaja dibandingkan Misbun Ramdan Misbun dan Goh Giap Chin.
Ketika ini, dia mempersiapkan pemain kurang enam minggu untuk menghadapi kejohanan di Washington, Amerika Syarikat yang berlangsung dari 25 September sehingga 8 Oktober depan.
Mujurlah, Malaysia menerima undian mudah di peringkat kumpulan, sekurang-kurangnya ia memberi kelegaan kepada Hazwan dan barisan jurulatih mengelak kejutan awal.
Dalam aksi berpasukan campuran, Malaysia diletak dalam Kumpulan C bersama England, Latvia, Austria dan Poland dengan hanya juara kumpulan layak ke suku akhir.
“Berdasarkan undian, saya rasa tiada masalah untuk melepasi peringkat.
“Apa pun saya akan berbincang bersama Ramdan dan Giap Chin, saya tidak akan buat keputusan seorang diri. Saya juga akan merujuk jurulatih skuad elit seperti Datuk (Tey) Seu Bock dan Hendrawan,” katanya semalam.
Pada Kejohanan Remaja Dunia di Santander, Sepanyol, tahun lalu, Malaysia melakar keputusan terburuk menduduki tangga kesembilan dalam berpasukan, manakala bagi acara individu tiada seorang pun wakilnya layak ke suku akhir.