PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh enggan mencampuri konflik dalaman mana-mana persatuan sukan kebangsaan biarpun terdapat gesaan daripada peminat sukan tempatan.
Katanya dalam isu penamatan kontrak jurulatih perseorangan remaja kebangsaan, Datuk Misbun Sidek dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), beliau menyerahkan kepada kedua-dua pihak menyelesaikan perkara itu kerana ia melihatkan kandungan kontrak yang tidak diketahui.
Semalam, Misbun meluahkan kekecewaan dengan cara kontrak beliau ditamatkan, malah menegaskan, dia sebenarnya dipecat bukan berundur dengan persetujuan bersama.
“Ini adalah isu kontrak antara Misbun dan BAM. Saya tidak tahu isi kontrak mereka dan apa yang telah dipersetujui sebelum ini, jadi isu ini seharusnya dikendalikan secara dalaman oleh BAM bersama jurulatih mereka.
“Ada pelbagai isu yang melibatkan badan persatuan sukan kebangsaan, setakat ini jika ada aduan, ia akan pergi terus ke peringkat PJS (Pesuruhjaya Sukan).
“Untuk kes sebegini, kalau ada aduan daripada pihak jurulatih ataupun pemain, kena ikut saluran seperti itu, tetapi ini lebih kepada pentadbiran dan kontrak beliau (Misbun) sebagai jurulatih.
“Apa-apa pun biar BAM menjawab dahulu isu yang diketengahkan oleh Misbun, dan saya percaya mereka dapat mengendalikan kes ini,” kata Hannah selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel Remaja di Lobi Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden BAM, Datuk V.Subramaniam yang merupakan Pengerusi Tindakan Jawatankuasa yang mengetuai siasatan bedah siasat kegagalan skuad Malaysia di Kejohanan Badminton Remaja Asia, Jogjakarta awal bulan ini enggan memberikan kenyataan balas berhubung dakwaan Misbun kelmarin.
“Saya tiada komen, minta maaf. Saya sudah menerangkannya tempohari dan kita sudah memberikan surat mengikut undang-undang.
“Kita hormat Misbun yang pernah menabur bakti kepada BAM, terpulang untuk dia untuk bercakap apa-apa,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE