PETALING JAYA: Keputusan muktamad sama ada final Piala Malaysia Disember depan bakal menggunakan sistem video bantuan pengadil (VAR) buat kali pertama akan diputuskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru melaksanakannya tanpa persediaan rapi hingga boleh mengganggu kelancaran.
MFL akan melakukan perbincangan bersama pihak tertentu termasuk memastikan barisan pengadil bersedia menggunakan VAR apabila dilaksanakan kelak.
“Pengadil pun sudah mulakan latihan dan untuk pastikan tarikh (penggunaan VAR), kita perlukan pertimbangan daripada beberapa aspek termasuk soal teknologi ini, jaringan internet dan juga latihan.
“Sekarang kita ada wakil FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) bersama kita untuk pastikan perbincangan dalaman sebelum laksanakan VAR.
“Belum masanya MFL umum tarikh kita laksanakan VAR secara rasmi, namun seperti semua orang tahu, latihan kepada pengadil dan pembelian alatan sudah bermula.
“VAR perlukan jaringan internet yang kukuh serta stabil di stadium. Semua ini perlu dijawab dulu sebelum umum tarikh dan mungkin pengumuman ini akan dibuat dalam tempoh seminggu dua lagi,” katanya.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membayangkan akan menggunakan sistem VAR buat kali pertama pada aksi final Piala Malaysia Disember depan.
Perkara itu dimaklumkan presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa MFL akan melaksanakannya secepat mungkin bagi meningkatkan lagi mutu pengadilan di negara ini.
Ketika ini, FAM bersama MFL dan wakil dari FIFA giat melatih pengadil untuk menggunakan VAR termasuk membeli kelengkapan bagi penggunaan teknologi terbabit supaya dapat digunakan secara rasmi kelak.