BERN, Switzerland: Biarpun sudah bersara, legenda tenis Switzerland, Roger Federer meraih pendapatan lebih tinggi daripada gabungan pendapatan dua seterunya, Rafael Nadal dan Novak Djokovic.
Federer, 41, yang mengumumkan persaraan pada tahun lalu telah menandatangani kontrak 10 tahun bernilai AS$300 juta (RM1.361 bilion) bersama syarikat pakaian Jepun, Uniqlo selepas berpisah dengan Nike pada 2018.
“Saya masih kelihatan menonjol apabila berada di dalam gelanggang. Saya mahu mengenakan pakaian yang terbaik, yang dipakai pemain tenis.
“Kalau boleh saya mahu membuat perkara seperti itu mencipta pakaian yang hebat bersama Uniqlo,” kata Federer ketika bersama jenama Jepun itu.
Pada 2006, pemain kelahiran Basel itu menandatangani kontrak 10 tahun bersama jenama jam mewah, Rolex dengan nilai AS$15 juta (RM68 juta). Menerusi ikatan kontrak ini, Federer akan meraih keuntungan sebanyak AS$1.5 juta (RM6.8 juta) setiap tahun.
Selain itu, dia juga turut menjadi duta beberapa jenama mewah antaranya Louis Vutton dan Switzerland Tourism.
Federer dianggarkan memiliki kekayaan sekitar AS$95.1juta (RM431 juta), dan diangkat menjadi antara atlet memiliki gaji tertinggi di dunia.
Nadal pula juga tidak kurang hebatnya apabila pemain Sepanyol itu merupakan duta kepada jenama mewah seperti Santander, Emporio Armani, Babolat, dan Richard Mille, manakala Djokovic mempunyai ikatan kontrak bersama Lacoste, Head, Asics, Hublot dan Raiffeisen Bank. – AGENSI