PETALING JAYA: Hanya dua minggu selepas digandingkan bersama, Kimberly Bong dan Ong Ker Ying menunjukkan cemerlang dalam Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China hari ini apabila meraih pingat perak acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita.
Kedua-dua penerjun kebangsaan itu menampilkan persembahan konsisten dan melengkapkan lima terjunan dengan mengumpul 257.82 mata.
Aksi yang berlangsung di Pusat Sukan dan Kebudayaan Jiangyang itu turut memperbaiki pencapaian gangsa yang pernah dimenangi skuad terjun negara dalam Universiade 2011 di Shengzen.
“Kami sangat teruja, gembira dan berpuas hati terutama sekali sebab kami tak pernah bergandingan sebelum ini.
“Kami hanya sempat berlatih dua minggu sahaja dan apabila tiba di sini, mungkin sebab kami ada keserasian, jadi kami dapat hasilkan keputusan baik,” kata Kimberly.
Pingat emas milik gandingan tuan rumah, Chen Jia-Yang Ruilin yang mengumpul 330.75 mata, manakala gangsa dimenangi pasangan Itali, Nerono Elettra-Borello Matildo (237.30).
Kejayaan Kimberly-Ker Ying melengkap pencapaian warna pingat yang diraih kontinjen negara dalam temasya ini dengan meraih satu emas, satu perak dan empat gangsa.
Sementara itu, Malaysia terlepas pingat dalam renang, lompat kijang dan taekwondo.
Perenang negara, Khiew Hoe Yean hanya mampu berpuas hati di tempat keempat dalam acara 200m lelaki selepas mencatat masa 1 minit 48.28 saat (s), ketinggalan 0.27s di belakang pemenang pingat gangsa, Caserta Giovanni dari Itali.
Dalam lompat kijang, Andre Anura terpaksa akur di tempat kelapan dengan lompatan sejauh 15.83m di peringkat akhir, manakala taekwondo pula, misi membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas juga menemui kebuntuan.
Semalam, Malaysia yang diwakili pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Muhammad Syafiq Zubair bersama Ahmad Nor Iman Rakib, Muhammad Luqman dan Joshua Amirul gagal meraih sebarang pingat dalam acara masing-masing. – UTUSAN ONLINE