Demi RTG, Kian Meng-Pei Jing turun bermati-matian di Denmark

Demi RTG, Kian Meng-Pei Jing turun bermati-matian di Denmark

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing membawa misi serampang dua mata pada Kejohanan Badminton Dunia yang akan membuka tirai di Copenhagen, Denmark minggu depan.

Mereka bukan sahaja bertandang ke saingan berprestij itu untuk cuba mengutip mata bagi kelayakan ke Sukan ­Olimpik Paris 2024, malah berusaha keras untuk tampil aksi memberangsangkan dalam usaha dikekalkan dalam program ‘Road to Gold’ (RTG).

Barisan atlet dalam program tersebut bakal menjalani penilaian pada bulan hadapan, dengan Kian Meng-Pei Jing berisiko digugurkan kerana sudah pun jatuh ke tangga 21 dunia.

Halangan pertama mereka di Denmark adalah pasangan Maldives, Fathimath Abdul Razzaq-Hussein Shaheed, dan kemudian di pusingan kedua, cabaran lebih getir menanti apabila berdepan beregu No. 12 dunia dari Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

“Kalau tengok pusingan pertama, memang kami akan turun sebagai pilihan tetapi yang pen­ting perlawanan selepas itu.

“Lawan dari Thailand tersebut baru sahaja mengalahkan kami di Terbuka Malaysia, jadi saya harap kami dapat me­nebus kekalahan itu di Denmark.

“Saya rasa cabaran paling besar adalah diri kami sendiri, walaupun awal tahun ini prestasi kami agak teruk, tetapi beberapa kejohanan yang lepas, kami sudah ada peningkatan, tewas pula dengan keputusan yang amat tipis dengan pasangan tiga terbaik dunia.

“Dari sini, saya pun harap, penilaian nanti bukan sahaja dari keputusan kami, tetapi turut mengambil kira peningkatan yang kami pamerkan, ada meningkat ataupun sebaliknya,” jelas Kian Meng.

Seandainya mereka berjaya mencipta kejutan mara ke peringkat separuh akhir, pingat gangsa sudah berada dalam genggaman sekali gus bakal mengukuhkan kedudukan pasangan ini dalam program RTG.

Kali terakhir pasangan beregu campuran negara berjaya meraih pingat gangsa di kejohanan dunia adalah menerusi Koo Kien Keat-Wong Pei Tty ketika edisi 2016 di Madrid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya