LONDON: Manchester United menurunkan tanda harga yang ditetapkan untuk Harry Maguire bagi memudahkan mereka melepaskan pemain pertahanan itu selepas menerima tawaran daripada West Ham dan Everton.
Menurut akhbar The Independent, United telah menilai semula harga bek tengah berusia 30 tahun itu selepas mendapat minat daripada dua pesaing mereka dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Maguire dilucutkan sebagai kapten United sebelum permulaan musim lalu dan diganti dengan Bruno Fernandes.
Terdapat laporan mengatakan pengurus Red Devils, Erik ten Hag berminat meletakkan Jonny Evans sebagai ketua pasukan baharu musim depan, dan bersedia menawarkan kontrak setahun kepada pertahanan veteran berusia 35 tahun itu.
Perkembangan tersebut menguatkan spekulasi United sedia melepaskan Maguire pada musim panas ini untuk sekurang-kurangnya meraih sebahagian yuran besar – 80 juta pound (RM465 juta) yang dibayar kepada Leicester City ketika membawanya masuk pada 2019.
Mereka menurunkan harga Maguire kepada 30 juta pound (RM174 juta) dengan harapan ada kelab yang berminat mendapatkan bek tengah England itu.
Sebelum itu, West Ham mengemukakan tawaran 20 juta pound (RM116.13 juta) yang ditolak oleh United kerana dianggap terlalu rendah.
Mereka meminta kelab London itu kembali dengan tawaran lebih baik dalam beberapa hari akan datang.
Everton juga menunjukkan minat terhadap Maguire dan bersedia mengemukakan tawaran, namun belum dapat dipastikan sama ada Maguire berminat untuk meninggalkan Old Trafford. – AGENSI