KUALA LUMPUR: Kira-kira RM30,000 berjaya dikutip hasil sumbangan bekas-bekas pemain skuasy dan orang ramai bagi membantu bekas pemain kebangsaan, Kenneth Low yang kini berdepan masalah kesihatan.
Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro memberi jaminan nasib juara kebangsaan enam kali itu akan dibela, terutama dalam membantu pembiayaan kos kesihatannya.
“Kita akan pastikan pada setiap bulan dia mendapat elaun yang mencukupi untuk menampung kehidupan sehariannya.
“Untuk rawatan pula, Kenneth kini mendapat rawatan di Hospital Selayang dan kita masih menunggu laporan doktor tentang keadaan terkini Kenneth dan apa yang dia perlukan bagi membantu memulihkan kesihatannya,” katanya.
Monteiro ditemui selepas menghadiri majlis pengumuman penajaan West Coast Expressway (WCE) bagi Kejohanan Skuasy Kebangsaan 2023 di sini hari ini.
Sejak beberapa hari lalu, media melaporkan tentang Kenneth, 44, yang kini bekerja sebagai tukang cuci bagi menampung kehidupan seharian dan juga kos rawatan penyakit dihidapinya.
Kenneth yang pernah menghuni ranking keempat Asia dan ke-38 dunia menghidap penyakit kronik berkaitan saraf, multiple sclerosis (MS) dan disebabkan kesihatannya itu dia tidak mampu meneruskan kerjaya lamanya sebagai jurulatih.
Monteiro memberitahu, beliau mula menyedari nasib malang menimpa Kenneth sejak hujung tahun lalu dan pihaknya telah berusaha bagi membantu bekas pemain itu.
“Kita akan pastikan dia sihat kembali dan jika dia pulih sepenuhnya, Kenneth boleh sahaja bekerja sebagai jurulatih,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE