LONDON: Chelsea dan Liverpool akur apabila kedua-dua pasukan terpaksa berkongsi satu mata dalam perlawanan pertama mereka untuk musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terikat 1-1 dalam aksi yang berlangsung di Stamford Bridge, London hari ini.
Skuad kendalian Jurgen Kloop kemas mengatur serangan sejak dari awal wisel permainan dibunyikan dan usaha itu berhasil apabila Luis Diaz tangkas menerpa bola hantaran Mohamed Salah untuk meletakkan Reds di depan pada minit ke-18.
Liverpool hampir menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-28 namun jaringan Salah dibatalkan setelah video bantuan pengadil (VAR) mengesan penyerang Mesir itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Tuan rumah akhirnya berjaya berjaya menembus gawang Liverpool apabila pemain pertahanan, Axel Disasi berjaya menyambar bola dalam situasi kalut dalam kotak penalti Liverpool untuk menjadikan kedudukan 1-1 pada minit ke-37
Jaringan itu menyemarakkan lagi semangat pasukan tuan rumah, dan Ben Chilwell hampir meletakkan tuan rumah di hadapan seminit kemudian setelah berjaya menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson, namun VAR sekali lagi memainkan peranannya apabila mengesan pemain tengah Chelsea itu berada dalam kedudukan ofsaid, sekaligus jaringannya itu dibatalkan.
Aksi di babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan slaing berbalas serangan, namun jentera serangan mereka gagal untuk menambah jaringan.
Penyerang Uruguay, Darwin Nunez hampir lagi meledak gol kemenangan pada masa tambahan, namun rembatannya hanya sedikit tersasar dari gawang Chelsea.
Kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.